Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, June 21, 2007

Ucapan terima kasih PJ Perlis kepada Presiden dan AJK PAS Pusat

Oleh Bashir Ishak
KANGAR- Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS dan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat yang baru kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memimpin PAS Perlis untuk sepenggal lagi.
Katanya, walaupun tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, beliau berterima kasih kerana terus diberikan kepercayaan.

"Saya tidak bertanding jawatan pusat untuk memberikan peluang kepada orang baru di samping usia yang semakin meningkat dan sudah agak lama menjadi AJK PAS Pusat," katanya.


Namun beliau tetap yakin dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis dengan mendapat sokongan padu daripada pimpinan di Perlis.

"Saya yakin dengan pimpinan PAS di negeri ini dan mereka mampu untuk memberikan sokongan padu untuk bekerja dalam jemaah kita dan juga untuk masyarakat," ujarnya.
Dewan Ulama PAS
Dalam pada itu, Ustaz Hashim yang turut terpilih sebagai Ketua Dewan Ulama melihat Ketua Dewan Ulama yang baru, Ustaz Mohmad Daud Iraqi sebagai seorang yang berpengalaman dan banyak menguasai ilmu agama.

Beliau yang sama-sama belajar dengan Ustaz Mohamad di Iraq dahulu, melihat kepimpinan Dewan Ulama mampu untuk menggerakkan jentera ulama PAS di semua peringkat.

"Walaupun saya rasa agak berat memikul jawatan Timbalan Ketua Dewan Ulama, tapi dengan kepimpinan yang ada saya yakin Dewan Ulama mampu untuk memainkan peranan yang diamanhkan oleh parti," katanya lagi.

Menyentuh tentang muktamar PAS baru-baru ini, Ustaz Hashim melihat trend melabelkan ulama dan professional sebagai satu usaha untuk memisahkan kedua-duanya dan boleh memberikan kesan buruk kepada PAS.

"Sejarah telah membuktikan kedua-dua golongan ini perlu bersatu. Jangan ikut gendang musuh yang cuba memecah-belahkan kita. Sama ada yang dipilih oleh perwakilan ataupun yang dilantik, kedua-dua golongan ini adalah penting untuk bekerjasama kerana keduanya saling memerlukan,"serunya.


Tahniah pada Anuar Tahir

Sementara itu, Ustaz Hashim turut merakamkan ucapan tahniah ke atas pelantikan Anuar ke dalam AJK PAS Pusat.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS serta AJK PAS Pusat yang telah memberikan kepercayaan kepada Anuar yang turut dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Buruh dan Peneroka Bandar.

Katanya, kebolehan dan kemampuan Anuar tidak perlu dipertikaikan lagi dengan pengalaman beliau di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO), ABIM, Umno dan Keadilan.

"Bila berada di dalam Barisan Alternatif, kita di Perlis pernah memberinya peluang bertanding di dalam pilihan raya umum di Parlimen Padang Besar pada tahun 1999 dan di Dun Beseri pada tahun 2004.

"Tahniah kepada Anuar. Ilmu dan kebolehan beliau akan membantu PAS di peringkat Pusat dan juga di Perlis,"katanya.


Barisan kepimpinan PAS lebih mantap

Selain itu, Ustaz Hashim turut melihat barisan kepimpinan PAS Pusat yang dipilih kali ini adalah lebih mantap dengan gabungan ulama dan professional.

"Umpamanya dengan pemilihan Ustaz Ahmad Awang untuk jawatan Naib Presiden akan menambahkan lagi kedudukan ulama di jawatan tertinggi.

"Ini sekaligus akan membentuk satu "team" yang mantap yang boleh diberikan keyakinan yang tinggi dengan kebolehan dan kemampuan mereka untuk membawa halatuju PAS khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang," katanya lagi.

No comments: