BESERI - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat sebagai seorang pemimpin negara yang tidak bertanggung jawab apabila terus menjelajah negara dan berkempen politik tatkala negara sedang diancam oleh kumpulan penceroboh.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir (foto), kunjungan Najib ke Perlis dalam program Jelajah Janji Ditepati 3 Mac lalu menggambarkan sikap beliau yang kurang serius dengan keadaan semasa di Sabah yang menggugat keselamatan negara.
"Najib hadir ke Perlis semata-mata untuk memenuhi hasrat bersama rakyat dalam program yang lebih dilihat sebagai kempen politik parti pemerintah yang turut menyajikan acara pesta-pestaan dan hiburan kepada orang ramai. Pada masa yang sama keadaan keselamatan negara sedang diancam penceroboh, malahan sudah ada beberapa orang anggota keselamatan yang telah terkorban.
"Ini menunjukkan sikap tidak bertanggung jawab seorang pemimpin tertinggi negara kerana mengabaikan isu yang lebih besar dan menumpukan kepada perkara yang kecil seperti ini. Kalau terdesak sangat pun nak buat jelajah macam ini hantarlah orang lain sebagai wakil.
"Perdana Menteri sepatutnya menangguhkan segala program beliau dan turun sendiri meninjau keadaan di Sabah sebagai tanda prihatin beliau. Kalau di negara lain, pemimpin tertinggi negara akan memberikan tumpuan kepada isu keselamatan negara terlebih dahulu, membatalkan program-program lain termasuk lawatan ke luar negara.
"Ini tidak, beliau lebih menumpukan program politik yang jelas memberikan gambaran betapa tenatnya corak pemerintahan Umno-BN bila pemimpin utama perlu turun untuk mencari publisiti dan menarik sokongan rakyat sedangkan ada sebahagian rakyat negara ini yang sedang berada dalam keadaan ketakutan dan sebahagiannya pula menggadai nyawa untuk mempertahankan tanahair," jelasnya.
No comments:
Post a Comment