KANGAR - PAS Perlis melihat bajet 2013 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Md Isa Sabu baru-baru ini sebagai bajet "copy and paste" kerana tiada pembaharuan yang dibawa dalam pembentangan tersebut.
Malah sekali lagi bajet yang dibentangkan pada tahun ini mengenepikan aspek pendidikan dan kerohanian.
Keseluruhan bajet yang dicadangkan untuk tahun 2013 adalah sebanyak RM253 juta yang merangkumi RM181.65 juta perbelanjaan mengurus dan RM72.14 juta bagi perbelanjaan pembangunan. Perbelanjaan mengurus pada kali ini meningkat berbanding RM181.24 juta pada tahun lalu dan perbelanjaan pembangunan pula meningkat dari RM55 juta pada tahun lalu.

Menyentuh bajet 2013, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) berkata bajet tersebut hanya menyentuh aspek kebendaan dengan mengenepikan aspek pembangunan insan.
"Secara keseluruhannya bajet yang dibentangkan adalah baik kerana memberikan penumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, tapi sayangnya aspek kerohanian atau pembangunan insan langsung tidak disentuh.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) pula berkata bajet kali ini tidak banyak beza daripada tahun-tahun sebelum ini.
Menurutnya, bajet yang dibentangkan itu nampak seperti salinan daripada tahun lalu kerana banyak menyebut perkara-perkara yang telah atau sedang dilaksanakan.
"Umpamanya disebut tentang pelaburan asing yang masuk sedangkan syarikat berkenaan telahpun beroperasi. Kerajaan juga masih banyak menyentuh perkara-perkara yang dibentangkan dalam bajet pusat oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Tak nampak pun ada banyak perkara yang baru. Program BR1M 2.0 pun masuk sebagai program negeri sedangkan benda tu dari pusat,"jelasnya.
"Mana ada penumpuan kepada pembangunan modal insan seperti pendidikan, program dakwah dan pembasmian gejala sosial? Bajet juga tidak memberikan penumpuan khusus kepada projek pembangunan terus kepada rakyat dibawah.
"Walaupun diuar-uarkan tentang Perlis Maju 2015, bajet ini juga tidak memberikan fokus khusus ke arah itu,"katanya.
No comments:
Post a Comment