Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, November 01, 2011

Banjir: Pemuda PAS, Amal diarah bersiap sedia

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 1 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengerahkan seluruh anggota pemuda dari seluruh negara bagi membantu kerja-kerja pemindahan, keselamatan, kecemasan, bantuan serta sumbangan kepada mangsa banjir yang diramal akan melanda tanah air.

“Bagi menghadapi musibah ini, seluruh anggota Amal dan pemuda PAS diarahkan bersiap sedia dengan segala peralatan serta kelengkapan semaksima mungkin,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Mereka juga, katanya akan membantu pasukan keselamatan dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan lain jika tenaga mereka diperlukan.

Menurutnya, pengalaman tahun 2006 lalu di mana anggota pemuda PAS mengharung banjir dan berselut lumpur tatkala musibah banjir besar di negeri Johor, Pahang dan Melaka akan dijadikan panduan berharga bagi menghadapi kemungkinan musibah kali ini.

Beliau memberitahu, seramai 10,000 anggota Amal dan pemuda PAS telah bersedia kali ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“DPPM yakin, hasil dari sentuhan tarbiyah program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 2011 yang baru berlangsung pada 28-30 Oktober 2011, segenap pemuda PAS akan turun ke kawasan terlibat dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang upah atau ganjaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, ujarnya DPPM memperingatkan pemuda PAS serta rakyat umumnya agar sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak pelbagai perkara buruk berlaku.

“Awasi anak-anak daripada membiarkan mereka mandi di kawasan sungai atau tali air.

“Jaga kesihatan diri dan anggota keluarga serta mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran jika sakit,” katanya lagi.

DPPM juga, jelasnya meminta semua Pemuda PAS dan rakyat seluruhnya sentiasa berdoa agar negara ini selamat dari musibah buruk.

“Mudah-mudahan ramalan kaji cuaca yang meramalkan banjir besar tahun ini tidak berlaku kali ini di negara ini hasil dari doa kita semua,” ujarnya.

No comments: