Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, June 03, 2010

Kunjungan Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat ke atas MB Perlis

KANGAR - Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat yang diketuai oleh Mazlan Aliman telah mengadakan kunjungan ke atas Menteri Besar Perlis Dato' Dr Md Isa Sabu di pejabatnya hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira 40 minit itu, Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menjelaskan bahawa kunjungan beliau ini adalah kali yang ke 11 diadakan ke atas Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negara dalam rangka membincangkan pelbagai isu membabitkan tanah rancangan seperti Felda dan Felcra untuk perhatian kepada kerajaan negeri.

"Banyak isu yang berbangkit khususnya tentang penyelarasan di antara kuasa kerajaan pusat dan negeri. Pelbagai isu seperti hak milik tanah, masalah generasi kedua peneroka perlu diajukan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan. Kita tahu bahawa Felda telah ditubuhkan pada tahun 1956 dan Felcra pula pada tahun 1966, mungkin banyak perkara-perkara yang ada dalam perundangan sudah tidak relevan pada masa ini," jelasnya kepada Md Isa.

Dalam pertemuan tersebut, Mazlan diiringi lima orang ahli jawatankuasa lajnah. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Rus'sele Eizan dan Ahli Jawatakuasa PAS Padang Besar, Mohd Razi Mustaffa.

Mohd Razi yang juga Pengerusi Lajnah Petani dan Peneroka PAS Padang Besar turut membangkitkan masalah purata pendapatan hasil getah peserta Felcra Lubuk Sireh yang begitu rendah berbanding peserta Felda Mata Ayer dan Rimba Mas serta pengusaha pesendirian.

Jelasnya, secara purata dari tahun 1998 hingga 2008 peserta Felcra Lubuk Sireh hanya memperolehi pendapatan kira-kira seperlima daripada mereka yang mengusahakan sendiri ataupun peneroka Felda.

Md Isa yang menyambut baik kunjungan Mazlan dan rombongannya menjelaskan kerajaan negeri turut prihatin dengan permasalahan hak milik tanah rakyat Perlis serta masalah generasi kedua di tanah-tanah rancangan.

Di akhir kunjungan itu, Mazlan menyerahkan memorandum daripada Anak berkaitan masalah dan tuntutan generasi kedua dan ketiga Felda kepada Md Isa.

No comments: