KANGAR - Umno Perlis menunjukkan sikap keanak-anakkan apabila sebahagian pemimpinnya memprotes kaji selidik yang ingin diadakan ke atas kepimpinan Dato' Seri Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar.
Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman berkata, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno itu sebenarnya menggambarkan sikap mereka yang tidak telus dan tidak sedia untuk menerima sebarang teguran.
Menurutnya, sebagai parti yang memerintah kerajaan negeri, Umno/BN harus sedia menerima sebarang teguran atau kritikan daripada rakyat. "Mereka perlu membuktikan sikap telus dan keterbukaan.
Mengapa takut untuk dibuat kaji selidik sedemikian? Memang tepat jika kaji selidik ini dimulakan dari pimpinan tertinggi iaitu Menteri Besar," katanya.
Kaji selidik tentang populariti Menteri Besar tersebut dilaporkan akan dijalankan oleh sekumpulan bekas pemimpin Umno negeri yang menamakan kumpulan mereka Majlis Tindakan Anak Perlis (Mantap).
Tugas pertama Mantap ialah membuat kaji selidik di kalangan 10,000 penduduk Perlis mengenai kepimpinan Md Isa sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun hasrat Mantap yang diterajui bekas Ketuai Penerangan Umno Perlis, Dato' Hashim Suboh ini mengundang bantahan dari beberapa orang pimpinan Umno Perlis.
Mengulas lanjut, Ustaz Ya'akub berkata, pimpinan sebuah kerajaan harus sedia menerima kritikan dan teguran dari pelbagai sudut ubagi memantapkan pentadbiran mereka.
Katanya, setiap pihak samada rakyat di pelbagai peringkat, ahli parti ataupun pembangkang berhak membuat kritikan memberikan teguran mahupun memberikan pandangan kepada kerajaan negeri.
"Tempoh dua tahun Md Isa sebagai Menteri Besar bukanlah isunya, yang pentingnya orang ramai berhak memberikan pandangan berkaitan kerajaan negeri.
Ini selaras dengan hasrat Md Isa sendiri yang mahu agar rakyat membuat penilaian terhadap kepimpinan beliau.
"Contoh yang sama kita boleh ambil dari Menteri Besar Kedah sendiri yang sedia menerima sebarang kritikan dan teguran asalkan ianya bukan berunsur fitnah," jelasnya.
Bagaimanapun ditanya tentang pergolakan dalam Umno perlis, Ustaz Ya'akub tidak menolak kemungkinan wujudnya agenda lain di sebalik kaji selidik yang akan diadakan oleh Mantap itu.
"Jika kita lihat keadaan politik Umno Perlis, ini mungkin juga agenda politik satu pihak yang lain yang ingin menggunakan kaji selidik ini untuk menjatuhkan pihak yang lain. Politiking di dalam Umno Perlis memang dilihat akan terus menjadi satu barah yang terus mencengkam mereka," ujarnya.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment