SIMPANG EMPAT, 19 Jan (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini dalam keadaan 'pincang' hanya akan menyebabkan ancaman kepada keselamatan negara.
Beliau melahirkan kebimbangnya terhadap masa depan negara sekiranya sistem demokrasi dan pemilihan kerajaan memerintah melalui pilihan raya di negara ini tidak dapat dipulihkan.
Katanya, sejarah pilihan raya umum ke 11 pada tahun 2004 telah membuktikan bahawa SPR bukanlah lagi sebuah badan yang benar-benar bebas.
Begitu juga katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri yang jelas membuktikan beliau bercakap mewakili parti pemerintah.
"Mulai tahun2004 kita sudah mulai ragu peranan SPR yang bukan lagi menjadi orang tengah atau hakim bahkan menjadi pemain untuk menyebelahi parti lawan kita (Barisan Nasional).
"Ini merupakan suatu yang merbahaya dan mengancam keamanan negara. Sebenarnya SPR yang mengancam keselamatan negara dan bukannya rakyat," katanya.
Katanya lagi, pilihan raya yang disertai oleh parti-parti di negara ini adalah suatu medan perperangan merebut kuasa melalui proses demokrasi.
Sekiranya pengendali proses pilihan raya ini pincang, dikhuatiri rakyat tidak boleh menerima keputusan pilihan raya dan masa depan negara ini akan terancam, kata Mohamad Sabu.
"Yang buat ancaman itu bukannya rakyat tapi SPR. Sebab itu polis yang berperanan menjaga keamanan negara sepatutnya bertindak ke atas Pengerusi SPR.
"Kita tak mahu jadi seperti di negara luar di mana rakyat mula memberontak apabila proses pilihanraya yang tidak telus. Sebab itu kita bergerak dan berusaha untuk memulihkan SPR sebagai sebuah badan yang berwibawa," katanya ketika menyampaikan ceramah di Markas PAS Simpang Empat dekat sini 17 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment