Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, January 03, 2008

Krisis Shahidan vs musuh - Nanah bisul Umno Perlis sudah pecah


Petikan Harakahdaily
KANGAR-Jika diamati, negeri Perlis yang saiznya hampir sama luas dengan daerah Kubang Pasu di Kedah tidak mempunyai banyak permasalahan politik, baik di pihak Umno-BN mahupun parti pembangkang.

Dengan berslogankan 'Permai lagi Mempersonakan', segala perjalanan politik dan pentadbiran negeri nampak seperti rutin di kaca mata rakyat.

Ada parti pemerintah, ada seorang pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun), semuanya nampak seperti biasa sehinggalah Sabtu lalu bila Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Kangar, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad mengeluarkan satu kenyataan bahawa Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Selain itu, beliau juga menyatakan Umno Perlis kini berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersatu.

Kenyataan beliau ini walaupun dilandaskan atas dasar beliau sebagai Setiausaha Agung parti, namun implikasinya terhadap politik Perlis adalah besar.

Tidak kira apa juga respon daripada pimpinan Umno terhadap kenyataan Radzi itu, yang pastinya ada sesuatu yang tidak kena sehinggakan beliau sanggup berkata demikian.

Masalah perbalahan dan perebutan kuasa merupakan perkara biasa dalam Umno dan boleh didengar di mana-manapun hatta di Perlis yang hanya mempunyai tiga kawasan parlimen dan 15 Dun.

Sepatutnya dalam situasi begini, Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim tidak menghadapi banyak masalah mentadbir negeri yang mempunyai biangan penduduk tidak sampai 300 ribu orang ini.

Apapun sejak beliau menjadi Menteri Besar pada tahun 1995 banyak perkara yang timbul apatah lagi mejleang setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Menjelang PRU tahun 1999, beliau dikatakan bermasalah dengan Ahli Parimen Padang Besar, Dato' Azmi Khalid yang dilihat sebagai saingannya untuk jawatan Menteri Besar.

Pada tahun 2004, timbul pula Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Dato' Zahidi Zainul Abidin yang pada masa itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Shahidan pula pada mulanya sudah terkeluar daripada senarai calon Menteri Besar.

Menjelang PRU ke 12 pula, timbul pula cakap-cakap bahawa Radzi akan baik menjadi Menteri Besar. Selain itu, satu lagi nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Arau, Dato' Seri Utama Syed Razlan Jamalullail.

Keadaan ini meresahkan Shahidan, apatah lagi dengan kenyataan Radzi yang dibuat selepas melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya Umno Bahagian Padang Besar Sabtu lalu.

Ironinya, kenyataan Radzi yang meletuskan satu ledakan besar itu cuba ditenangkan oleh dua orang pemimpin Umno lain yang turut berada di Perlis minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Menteri Melaka, Dato' Mohd Ali Rustam dan Timbalan Menteri Penerang, Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang hadir hadir ke Perlis dalam perhimpuanan Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia.

Ali dan Zahid senada menyebut Radzi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu dan permasalahan dalaman parti perlu dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti.

Apapun, rakyat Perlis sudah tentu mahu Shahidan menunaikan hasratnya pada tahun 2003 lalu yang mahu kekal sebagai Menteri Besar sepenggal lagi.

Begitu juga umum mahu melihat beliau beundur bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri apabila tidak diperlukan oleh pucuk pimpinan seperti yang pernah disebutkannya pada rahun yang sama dahulu.

Umno Perlis berpuak-puak,ramai orang tak suka sikap Shahidan

Apabila naik memegang tampuk kerajaan Perlis sekali lagi, Shahidan terus berada dalam keadaan yang kukuh, lebih-lebih lagi beliau dilihat sebagai Menteri Besar paling pemurah di Malaysia.

Apa tidaknya, beliau begitu mudah menganjurkan majlis-majlis sumbangan kewangan kepada pelbagai pihak khususnya pada setiap malam di bulan Ramadan.

"Mana ada MB lain boleh buat macam tu. Tiap-tiap malam tabur duit, bagi barang letrik dan hamper, banyak duit Shahidan ni," kata seorang pemimpin Umno Bahagian Kangar.

Seperti kata Radzi yang menyebut Umno Perlis tidak bersatu. Itulah kenyataannya dan keadaan ini sudah disebut-sebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2005 wujudnya budaya surat layang di kalangan orang-orang Umno Perlis sendiri.

Antaranya adalah berkaitan seruan untuk merubah pimpinan Umno negeri kepada satu "team" baru yang diketuai oleh Syed Razlan. Turut tersenarai dalam "team" tersebut adalah beberapa orang pimpinan Umno negeri termasuk seorang Adun dalam parlimen Arau.

Adun tersebut pernah ditegur secara sinis oleh Shahidan pada sidang Dun Perlis. Ketika itu, Adun tersebut mencadangkan agar ditubuhkan syarikat-syarikat tertentu dengan menggunakan kepakaran dari kakitangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.

Shahidan menjawab,"elok juga cadangan Yang Berhormat tadi. Sebagai contoh satu syarikat percetakan, boleh cetak surat layang banyak-banyak".

Cara beliau bercakap sebeginilah yang tidak disukai orang ramai. Begitu juga dengan sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk dan menonjolkan diri.

Dalam sidang Dun Perlis juga beliau pernah memperli seorang wakil rakyat dari MCA yang baru pulang dari menghadiri perhimpuan agung tahunan parti itu.

"Yang Berhormat ni saya lihat mungkin penggal terakhir duduk dalam dewan ni sebab hari tu dalam pemilihan parti, dia berada dalam kem lain," kata Shahidan.

Semasa beliau mula menjadi Menteri Besar dahulu, bagitu banyak memorandum persefahaman yang ditandatangani ununtuk membawa pelabur-pelabur ke negari Perlis, tetapi hanya berapa kerat sahaja yang dapat direalisasikan.

Ketika sedang kecoh berkaitan isu royalti minyak Petronas, beliau juga mahu negeri Perlis diberikan royalti. Keyataan beliau ditempelak ramai pihak dengan menyatakan Perlis hanya layak diberikan royalti minyak gamat.

Semasa menyertai program Bersama Menteri di RTM1, Shahidan pernah menerima panggilan yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana memperolehi PhD. Responnya cukup membuatkan orang menyampah. Katanya beliau hairan bagaimana pemanggil tersebut tahu tentang perkara tersebut dan dia tak mahu diheboh-hebohkan sangat.

"Kalau boleh saya nak dapat dua-tiga lagi ijazah. Lepas tu nak panggil apa kat saya pun tak apa," katanya.

Begitu juga ketika memberikan respon selepas memenangi jawatan presiden sebuah persatuan sukan, Shahidan berkata yang dia kalau boleh mahu memegang dua atau tiga lagi persatuan sukan.

Selain dari tiga orang Ahli Parlimen yang disebutkan di atas dan Zahidi, Shahidan juga dilihat suka bermusuhan dengan ramai orang dari kalangan pimpinan Umno Perlis sendiri.

Beliau mendakwa pernah menjadi bahan tohmahan beberapa orang pimpinan Umno Perlis yang mahu menjatuhkannya.

Antaranya, Baharudin Ahmad (bekas YDP Majlis Perbandaran Kangar yang didakwa atas tuduhan rasuah), Zainudin Yom, Bahari Ali, Azmi Suboh dan Ammar Hassan.

Tidak cukup dengan itu, beliau dikatakan sering mensabotaj program-program yang dihadiri oleh ketiga-tiga ahli parlimen dari Perlis.

Berita yang sering didengar hanpir sama iaitu "Shahidan tak bagi JKKK dan pegawai kerjaan hadir dalam program Radzi" atau "Shahidan arahkan guru-guru supaya jangan hadir program Syed Razlan".

Shahidan vs Radzi

Dengan Radzi pula timbul "perang mulut" beberapa bulan lalu berkaitan isu pengambilan pekerja asing di Perlis.

Shahidan menyatakan bahawa Perlis tidak akan menerima sebarang kemasukan pekerja asing sedangkan Radzi pula menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak pekerja asing.

Bagaimanapun,Radzi selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mendedahkan jumlah pekerja asing yang berdaftar di Perlis adalah seramai 5,480 orang termasuk lima orang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di rumah Shahidan sendiri.

Walaupun percaturan ini membabitkan masalah pentabiran, tetapi umum melihat wujudnya konflik peribadi di situ.

Mendengar kenyataannya Sabtu lalu, seorang sahabat lama seakan-akan tidak percaya kenyataan itu datangnya dari Radzi.

"Saya kenal dia dari masa sekolah dulu. Radzi bukan jenis macam tu, dia ni jenis sayang kat parti, bukannya jenis keluar "statement" terbuka macam hari tu.

"Ini sudah tentu ada benda besar yang sedang bergelombang dalam Umno Perlis hari ini," jelasnya.

Pembangunan di Perlis

Perlis sebagai sebuah negeri kecil dengan hasil yang sedikit juga tidak terlepas dari aspek pembangunan semasa Shahidan menjadi Menteri Besar.

Banyak projek besar dibawa masuk khususnya untuk merealisasikan Perlis sebagai negeri pendidikan (UniMap, Politeknik), penubuhan sebuah stesen janakuasa elektrik di Sungai Baru serta pembinaaan bangunan-bangunan besar.

Bagaimanapun, Perlis masih lagi dilihat sebagai negeri yang terkebelakang dari aspek pembangunan dan kemajuan.

Pendapatan per kapita negerii menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak projek yang dibuat gagala dimanfaakan rakyat, ada beberapa projek rumah kos murah belum dapat diduduki rakyat dan banyak lagi projek yang membazirkan wang rakyat.

Begitu juga, banyak projek-projek besar di Perlis dibolot oleh kroni beliau khususnya Bintong Construction dan Gapura Sdn Bhd.

Cakap-cakap bab penyelewengan dan salahguna kuasa juga kedengaran.

"Apa sudah jadi dengan Perlis, wang Baitul Mal pun depa gauan bawa JKKK pi Medan?," soal seorang veteran Umno.

Rakyat mahu perubahan?

Selain itu, banyak topik menarik tentang politik di negeri Perlis kini dibincangkan pada ruangan Forum di lamanweb AnakPerlis.com. Antara tajuk yang paling hangat ialah "Siapa yang layak ganti Shahidan", "Perubahan Politik di Perlis", "Berapa lama lagi Shahidan boleh bertahan" , "Kalau Shahidan bukan MB Perlis" dan banyak lagi.

Forum sebegini juga membuktikan rakyat Perlis dama ada yang tinggal di dalam mahupun luar Perlis turut berminat mengikuti suasan politik di negeri ini secara serius.

Begitu juga sudah dua kali laman web ini membuat undian online berkaitan kepimpinan negeri. Pertamanya undian atas tajuk "Setujukah anda jika Shahidan terus menjadi MB Perlis?".

Ternyata 70 peratus responden mengatakan bersetuju. Manakala undian terbaru ialah "Perubahan politik yang bagaimanakah yang anda perlukan untuk negeri Perlis ?" Setakat hari ini lebih 47 peratus responden mahukan perubahan daripada Parti pemerintah kepada PAS dan KeADILan.

Pun begitu ramai yang masih beranggapan Shahidan sukar untuk digugat di Perlis. Sifat "pemurahnya" disukai orang ramai yang mengagihkan sumbangannya.

Beliau juga dikepung oleh pimpinan umno negeri yang seperti beberapa orang wakil rakyat, pimpinan pemuda, wanita termasuk adiknya sendiri, Senator Ismail Kassim.

Apapun Umno Perlis tetap berkocak. Riak yang kecil tentang kepimpinan Umno negeri semakin lama-semakin kuat sehingga menimbulkan gelombang yang kuat.

Dari masalah perebutan jawatan, masalah penyelewengan sampai ke masalah peribadi dan akhlak semuanya menjadi rencah yang menyeliputi Umno Perlis.

Ibarat kudis kecil yang membengkak, semakin lama semakin besar menjadi bisul.

Akhirnya bisul Umno Perlis yang membengkak selama ini pecah juga dengan kenyataan Radzi Sabtu lalu. Nanahnya mengalir keluar dan dapat dihidu orang ke sekuruh pelusuk tanahair.

No comments: