Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, January 19, 2008

Ke mana hendak dipacu pembangunan Perlis?

Asrul Nizam Abd Jalil

Pejam celik, pejam celik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 30 Julai lalu sudah pun berlalu selama enam bulan. Namun demikian, ia belum menampakkan sebarang petanda bahawa ekonomi rakyat negeri Perlis khususnya akan berubah ke suatu tahap lebih baik.

Apa yang rakyat Perlis tempohi sekarang hanyalah perih derita menanggung kenaikan harga barang keperluan harian bermula kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen seliter.

Kos yang semakin meningkat akibat kenaikan harga bahan bakar menyebabkan rakyat menanggung beban kenaikan harga bawang, tepung gandum, susu, milo, lampin bayi, minyak masak, ayam dan sebagainya.

Adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan bagaimana rakyat mampu meneruskan kehidupan mereka sekiranya harga petrol dinaikkan sehingga 70 sen lagi selepas pilihan raya umum tidak lama lagi.

Statistik menunjukkan kadar kemiskinan di Perlis lebih tinggi berbanding kadar purata kemiskinan bagi seluruh negara. Apakah perancangan molok pihak pemerintah hanya sekadar untuk mengelabui mata rakyat bahawa kewujudan NCER bakal mengeluarkan rakyat Perlis daripada paras kemiskinan?

Sedangkan rekod sebelum ini menunjukkan bahawa wang Baitulmal negeri Perlis yang salah satu tujuannya untuk membantu rakyat Perlis yang miskin tegar pun sanggup digunakan oleh pihak pemerintah untuk membawa rombongan penyokong mereka melancong ke Medan.

Perkara ini bukan satu fitnah, sebaliknya telah dijawab oleh Menteri Besar Perlis sendiri untuk mempertahankan tindakan melancong menggunakan wang Baitulmal.

Pemberian RM100 kepada rakyat terpilih oleh Menteri Besar ketika perayaan utama khususnya hari raya Aidilfitri tidak mampu mengeluarkan penerimanya (sekiranya dari kalangan miskin tegar) daripada kategori miskin.

Terdapat pengadu yang telah mendakwa kepada Parti KeADILan Rakyat Perlis bahawa skim pinjaman perniagaan di bawah Tekun telah disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit apabila pemohon skim ini disyaratkan secara tidak rasmi mestilah terdiri daripada ahli parti pemerintah sekiranya berhajat untuk mendapatkannya.

Menteri Besar yang memegang teraju kepimpinan Perlis sejak tahun 1995 didapati gagal mengemukakan perancangan ekonomi bersepadu untuk rakyat Perlis.

Beliau hanya memfokuskan kepada apa yang dinamakan sebagai program memperkukuhkan kedudukannya daripada merancang untuk membangunkan Perlis yang mempunyai potensi kerana terletak di sempadan negara. Program-program untuk menunjukkan kehebatan beliau digerakkan seperti program pengagihan wang tunai dan barangan elektrik.

Ketika beliau menjadi MB juga, banyak anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Ekonomi Perlis (PKENPs) yang gulung tikar. Contoh ketara ialah terdapat sebuah syarikat bas yang maju di Perlis iaitu PPMP pun boleh ditutup.

Sebuah anak syarikat PKENPs iaitu Perlis Essential Oils Sdn Bhd telah ditubuhkan lebih daripada sepuluh tahun yang lalu bertujuan untuk terlibat dalam pengeluaran dan pemprosesan minyak kelapa dara sampai sekarang masih tidak beroperasi.

MB pernah popular sebagai MB yang banyak menghasilkan majlis perjanjian persefahaman (MoU) dan majlis pecah tanah projek, namun demikian, hampir tiada projek yang berjaya direalisasikan kewujudannya untuk faedah rakyat Perlis.

MB pernah berkata bahawa Perlis merupakan negeri yang paling strategik untuk pembangunan serantau. Dengan demikian, beliau mengalu-alukan kemasukan pelabur luar untuk melabur di negeri ini.

Tetapi sebaliknya, terdapat pelabur yang ingin melabur di sini tetapi mengubah haluan pelaburan mereka ke tempat lain setelah tidak berpuas hati dengan syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh MB.

Sebagai contoh, dalam beberapa tahun yang lepas, Perlis pernah didatangi oleh seorang pelabur yang ingin membuka kilang memasang motosikal di negeri ini. Jika pelaburan ini berjaya, ianya dijangka akan memberikan lebih seribu peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis.

Tetapi sebaliknya, pihak pelabur kecewa dengan syarat untuk diberikan 'bayaran tol' kepada pemimpin tertentu sehinggakan pelabur mengubah lokasinya ke selatan Thailand. Sekiranya kita melalui jalan utama ke Hatyai, kita akan melihat kilang besar pemasangan motosikal tersergam megah di tepi jalan yang sedang memberi manfaat pekerjaan kepada lebih seribu anak-anak Thailand.

Pengerusi MABEM, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik boleh mengesahkan perkara ini kerana beliaulah yang mengangkat cadangan pelaburan tersebut ke Perlis!

Terdapat berita di Perlis yang mendakwa bahawa sebuah kilang utama di negeri ini iaitu Shorubber di Jejawi Perlis yang menyediakan pekerjaan kepada beribu-ribu orang anak Perlis juga akan ditutup tidak lama lagi untuk berpindah pelaburan mereka ke Vietnam yang lebih kompetitif.

Persediaan ke arah itu telahpun dibuat oleh Shorubber dengan membawa masuk buruh asing dari Vietnam untuk menimba pengalaman.

Telah terbukti bahawa pihak pemerintah gagal menyediakan peluang pekerjaan yang secukupnya kepada anak-anak Perlis sehingga mereka terpaksa merantau ke pelusuk negara untuk mencari peluang pekerjaan.

Sekiranya rakyat memberi peluang kepada BA untuk memerintah Perlis, antara langkah pertama yang akan diambil oleh BA ialah membuka seluas-luasnya peluang pelaburan ke negeri ini dengan mengenakan insentif cukai yang paling minima kepada pelabur.

Tiada lagi sebarang 'bayaran tol' yang akan dikenakan kepada mana-mana pelabur yang berminat untuk melabur di Perlis.

Pelaburan luar merupakan paksi utama dalam menjana ekonomi Perlis yang bermatlamat murni untuk menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis.

Justeru, anak-anak Perlis di perantauan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang boleh kembali ke Perlis untuk memenuhi pasaran kerja yang seterusnya dapat sama-sama menyumbangkan tenaga dan kepakaran bagi membangunkan negeri ini.

Rakyat Perlis yang mengusahakan tanah-tanah kerajaan lebih daripada sepuluh tahun contohnya seperti tanah dusun di Sungai Batu Pahat akan dianugerahkan geran kekal kepada mereka sebagai satu penghargaan di atas daya usaha mereka untuk menyuburkan tanah.

Dasar perumahan Perlis akan dimantapkan lagi dengan membuka peluang kepada anak-anak Perlis yang sudah berkahwin untuk memiliki tanah bagi didirikan rumah kediaman.

Penduduk Perlis yang terdiri daripada keturunan Burma yang ramai menetap di Kuala Perlis juga akan menikmati faedah yang sama kerana mereka juga adalah rakyat Perlis.

Bekalan air yang menjadi nadi untuk rakyat Perlis tidak akan diswastakan sama sekali kerana ia merupakan tanggungjawab sosial kerajaan.

Ini adalah merupakan sebahagian daripada janji kami untuk kesejahteraan rakyat Perlis sekiranya kami diberi mandat untuk rakyat. Kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat!

UBAH SEBELUM PARAH, UBAH DEMI MARUAH!

*Penulis adalah Setiausaha Perhubungan KeADILan Perlis.

Mohamad Sabu dakwa SPR yang ancam keselamatan negara, bukannya rakyat

Petikan Harakahdaily
SIMPANG EMPAT, 19 Jan (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini dalam keadaan 'pincang' hanya akan menyebabkan ancaman kepada keselamatan negara.

Beliau melahirkan kebimbangnya terhadap masa depan negara sekiranya sistem demokrasi dan pemilihan kerajaan memerintah melalui pilihan raya di negara ini tidak dapat dipulihkan.

Katanya, sejarah pilihan raya umum ke 11 pada tahun 2004 telah membuktikan bahawa SPR bukanlah lagi sebuah badan yang benar-benar bebas.

Begitu juga katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri yang jelas membuktikan beliau bercakap mewakili parti pemerintah.

"Mulai tahun2004 kita sudah mulai ragu peranan SPR yang bukan lagi menjadi orang tengah atau hakim bahkan menjadi pemain untuk menyebelahi parti lawan kita (Barisan Nasional).

"Ini merupakan suatu yang merbahaya dan mengancam keamanan negara. Sebenarnya SPR yang mengancam keselamatan negara dan bukannya rakyat," katanya.

Katanya lagi, pilihan raya yang disertai oleh parti-parti di negara ini adalah suatu medan perperangan merebut kuasa melalui proses demokrasi.

Sekiranya pengendali proses pilihan raya ini pincang, dikhuatiri rakyat tidak boleh menerima keputusan pilihan raya dan masa depan negara ini akan terancam, kata Mohamad Sabu.

"Yang buat ancaman itu bukannya rakyat tapi SPR. Sebab itu polis yang berperanan menjaga keamanan negara sepatutnya bertindak ke atas Pengerusi SPR.

"Kita tak mahu jadi seperti di negara luar di mana rakyat mula memberontak apabila proses pilihanraya yang tidak telus. Sebab itu kita bergerak dan berusaha untuk memulihkan SPR sebagai sebuah badan yang berwibawa," katanya ketika menyampaikan ceramah di Markas PAS Simpang Empat dekat sini 17 Januari lalu.

Bidaahkah membaca doa awal tahun?

BESERI - Sesetengah pihak di negeri ini menganggap amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijriah sebagai suatu amalan bidaah kerana tidak pernah dibuat oleh Rasulllah s.a.w.
Penyataan tentang perkara ini turut disebut oleh para khatib di negeri ini dalam khutbah Jumaat pada minggu lalu.

"Kita bukannya nak pertikai fahaman pihak-phak tertentu dalam masalah sebegini. Memanglah perkara sebegini tak dibuat oleh Nabi s.a.w. dulu, tapi salahkah kita memulakan tahun baru Islam dengan berdoa?

"Allah Taala pun berfirman dalam al-Quran yang bermaksud berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku pekenankannya," kata Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz.

Menurutnya, perkara-perkara sebegini yang tidak melibatkan ibadat khusus seperti solat tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Katanya lagi, lebih banyak perkara besar yang perlu diberikan penumpuan seperti krisis keruntuhan akhlak dan gejala kegoncangan aqidah yang sedang melanda umat Islam khususnya di negara ini.

"Kalau nak sebut tentang perkara bidaah, tahun hijrah pun tak ada zaman Nabi dulu. Ianya mula dikira pada zaman Saiyidina Umar memerintah.

"Sepatutnya khutbah Jumaat lah tempat paling sesuai digunakan bagi menerangkan ancaman-ancaman yang melanda umat Islam hari ini kerana pada hari itu ramai orang berhimpun," ujarnya selepas menyampaikan kuliah maghrib mingguannya di sebuah surau dekat sini malam semalam.

Pemuda PAS Perlis edar poster cari Sharlinie

PADANG BESAR, 14 Jan - Sebagai tanda prihatin dengan kes kehilangan adik Sharlinie Mohd. Nashar, 5, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) turut mengedarkan poster beliau di pekan Padang Besar semalam.

Poster berkenaan diedarkan di sekitar Arked Niaga Padang Besar, Kompleks Bebas Cukai dan kawasan pekan.

Sebanyak seribu keping poster Sharlinie berjaya diedarkan oleh kumpulan yang disertai Exco DPPPs, AJK Pemuda Padang Besar dan Pemuda Dun Titi Tinggi.

"Seperti yang disebut dalam media, kanak-kanak yang diculik juga mungkin dibawa lari ke negara jiran. Jadi sebagai tanda prihatin kita turut mengedarkan poster beliau di kawasan berhampiran sempadan ini," kata Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub.

Bagi pihak DPPPs, Ya'akub juga meminta seluruh rakyat mendoakan keselamatan Sharlinie semoga beliau dapat pulang ke pangkuan keluarganya dengan selamat.

"Semoga ibu bapa Sharlinie dan seluruh keluarganya bersabar menghadapi dugaan Allah, mudah-mudahan dengan berkat doa semua, beliau akan kembali ke pangkuan keluarga," katanya lagi.

Sharlinie diberitakan hilang pada hari Rabu, 9 Januari lalu ketika sedang bermain di taman permainan berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Thursday, January 03, 2008

Krisis Shahidan vs musuh - Nanah bisul Umno Perlis sudah pecah


Petikan Harakahdaily
KANGAR-Jika diamati, negeri Perlis yang saiznya hampir sama luas dengan daerah Kubang Pasu di Kedah tidak mempunyai banyak permasalahan politik, baik di pihak Umno-BN mahupun parti pembangkang.

Dengan berslogankan 'Permai lagi Mempersonakan', segala perjalanan politik dan pentadbiran negeri nampak seperti rutin di kaca mata rakyat.

Ada parti pemerintah, ada seorang pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun), semuanya nampak seperti biasa sehinggalah Sabtu lalu bila Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Kangar, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad mengeluarkan satu kenyataan bahawa Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Selain itu, beliau juga menyatakan Umno Perlis kini berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersatu.

Kenyataan beliau ini walaupun dilandaskan atas dasar beliau sebagai Setiausaha Agung parti, namun implikasinya terhadap politik Perlis adalah besar.

Tidak kira apa juga respon daripada pimpinan Umno terhadap kenyataan Radzi itu, yang pastinya ada sesuatu yang tidak kena sehinggakan beliau sanggup berkata demikian.

Masalah perbalahan dan perebutan kuasa merupakan perkara biasa dalam Umno dan boleh didengar di mana-manapun hatta di Perlis yang hanya mempunyai tiga kawasan parlimen dan 15 Dun.

Sepatutnya dalam situasi begini, Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim tidak menghadapi banyak masalah mentadbir negeri yang mempunyai biangan penduduk tidak sampai 300 ribu orang ini.

Apapun sejak beliau menjadi Menteri Besar pada tahun 1995 banyak perkara yang timbul apatah lagi mejleang setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Menjelang PRU tahun 1999, beliau dikatakan bermasalah dengan Ahli Parimen Padang Besar, Dato' Azmi Khalid yang dilihat sebagai saingannya untuk jawatan Menteri Besar.

Pada tahun 2004, timbul pula Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Dato' Zahidi Zainul Abidin yang pada masa itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Shahidan pula pada mulanya sudah terkeluar daripada senarai calon Menteri Besar.

Menjelang PRU ke 12 pula, timbul pula cakap-cakap bahawa Radzi akan baik menjadi Menteri Besar. Selain itu, satu lagi nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Arau, Dato' Seri Utama Syed Razlan Jamalullail.

Keadaan ini meresahkan Shahidan, apatah lagi dengan kenyataan Radzi yang dibuat selepas melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya Umno Bahagian Padang Besar Sabtu lalu.

Ironinya, kenyataan Radzi yang meletuskan satu ledakan besar itu cuba ditenangkan oleh dua orang pemimpin Umno lain yang turut berada di Perlis minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Menteri Melaka, Dato' Mohd Ali Rustam dan Timbalan Menteri Penerang, Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang hadir hadir ke Perlis dalam perhimpuanan Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia.

Ali dan Zahid senada menyebut Radzi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu dan permasalahan dalaman parti perlu dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti.

Apapun, rakyat Perlis sudah tentu mahu Shahidan menunaikan hasratnya pada tahun 2003 lalu yang mahu kekal sebagai Menteri Besar sepenggal lagi.

Begitu juga umum mahu melihat beliau beundur bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri apabila tidak diperlukan oleh pucuk pimpinan seperti yang pernah disebutkannya pada rahun yang sama dahulu.

Umno Perlis berpuak-puak,ramai orang tak suka sikap Shahidan

Apabila naik memegang tampuk kerajaan Perlis sekali lagi, Shahidan terus berada dalam keadaan yang kukuh, lebih-lebih lagi beliau dilihat sebagai Menteri Besar paling pemurah di Malaysia.

Apa tidaknya, beliau begitu mudah menganjurkan majlis-majlis sumbangan kewangan kepada pelbagai pihak khususnya pada setiap malam di bulan Ramadan.

"Mana ada MB lain boleh buat macam tu. Tiap-tiap malam tabur duit, bagi barang letrik dan hamper, banyak duit Shahidan ni," kata seorang pemimpin Umno Bahagian Kangar.

Seperti kata Radzi yang menyebut Umno Perlis tidak bersatu. Itulah kenyataannya dan keadaan ini sudah disebut-sebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2005 wujudnya budaya surat layang di kalangan orang-orang Umno Perlis sendiri.

Antaranya adalah berkaitan seruan untuk merubah pimpinan Umno negeri kepada satu "team" baru yang diketuai oleh Syed Razlan. Turut tersenarai dalam "team" tersebut adalah beberapa orang pimpinan Umno negeri termasuk seorang Adun dalam parlimen Arau.

Adun tersebut pernah ditegur secara sinis oleh Shahidan pada sidang Dun Perlis. Ketika itu, Adun tersebut mencadangkan agar ditubuhkan syarikat-syarikat tertentu dengan menggunakan kepakaran dari kakitangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.

Shahidan menjawab,"elok juga cadangan Yang Berhormat tadi. Sebagai contoh satu syarikat percetakan, boleh cetak surat layang banyak-banyak".

Cara beliau bercakap sebeginilah yang tidak disukai orang ramai. Begitu juga dengan sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk dan menonjolkan diri.

Dalam sidang Dun Perlis juga beliau pernah memperli seorang wakil rakyat dari MCA yang baru pulang dari menghadiri perhimpuan agung tahunan parti itu.

"Yang Berhormat ni saya lihat mungkin penggal terakhir duduk dalam dewan ni sebab hari tu dalam pemilihan parti, dia berada dalam kem lain," kata Shahidan.

Semasa beliau mula menjadi Menteri Besar dahulu, bagitu banyak memorandum persefahaman yang ditandatangani ununtuk membawa pelabur-pelabur ke negari Perlis, tetapi hanya berapa kerat sahaja yang dapat direalisasikan.

Ketika sedang kecoh berkaitan isu royalti minyak Petronas, beliau juga mahu negeri Perlis diberikan royalti. Keyataan beliau ditempelak ramai pihak dengan menyatakan Perlis hanya layak diberikan royalti minyak gamat.

Semasa menyertai program Bersama Menteri di RTM1, Shahidan pernah menerima panggilan yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana memperolehi PhD. Responnya cukup membuatkan orang menyampah. Katanya beliau hairan bagaimana pemanggil tersebut tahu tentang perkara tersebut dan dia tak mahu diheboh-hebohkan sangat.

"Kalau boleh saya nak dapat dua-tiga lagi ijazah. Lepas tu nak panggil apa kat saya pun tak apa," katanya.

Begitu juga ketika memberikan respon selepas memenangi jawatan presiden sebuah persatuan sukan, Shahidan berkata yang dia kalau boleh mahu memegang dua atau tiga lagi persatuan sukan.

Selain dari tiga orang Ahli Parlimen yang disebutkan di atas dan Zahidi, Shahidan juga dilihat suka bermusuhan dengan ramai orang dari kalangan pimpinan Umno Perlis sendiri.

Beliau mendakwa pernah menjadi bahan tohmahan beberapa orang pimpinan Umno Perlis yang mahu menjatuhkannya.

Antaranya, Baharudin Ahmad (bekas YDP Majlis Perbandaran Kangar yang didakwa atas tuduhan rasuah), Zainudin Yom, Bahari Ali, Azmi Suboh dan Ammar Hassan.

Tidak cukup dengan itu, beliau dikatakan sering mensabotaj program-program yang dihadiri oleh ketiga-tiga ahli parlimen dari Perlis.

Berita yang sering didengar hanpir sama iaitu "Shahidan tak bagi JKKK dan pegawai kerjaan hadir dalam program Radzi" atau "Shahidan arahkan guru-guru supaya jangan hadir program Syed Razlan".

Shahidan vs Radzi

Dengan Radzi pula timbul "perang mulut" beberapa bulan lalu berkaitan isu pengambilan pekerja asing di Perlis.

Shahidan menyatakan bahawa Perlis tidak akan menerima sebarang kemasukan pekerja asing sedangkan Radzi pula menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak pekerja asing.

Bagaimanapun,Radzi selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mendedahkan jumlah pekerja asing yang berdaftar di Perlis adalah seramai 5,480 orang termasuk lima orang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di rumah Shahidan sendiri.

Walaupun percaturan ini membabitkan masalah pentabiran, tetapi umum melihat wujudnya konflik peribadi di situ.

Mendengar kenyataannya Sabtu lalu, seorang sahabat lama seakan-akan tidak percaya kenyataan itu datangnya dari Radzi.

"Saya kenal dia dari masa sekolah dulu. Radzi bukan jenis macam tu, dia ni jenis sayang kat parti, bukannya jenis keluar "statement" terbuka macam hari tu.

"Ini sudah tentu ada benda besar yang sedang bergelombang dalam Umno Perlis hari ini," jelasnya.

Pembangunan di Perlis

Perlis sebagai sebuah negeri kecil dengan hasil yang sedikit juga tidak terlepas dari aspek pembangunan semasa Shahidan menjadi Menteri Besar.

Banyak projek besar dibawa masuk khususnya untuk merealisasikan Perlis sebagai negeri pendidikan (UniMap, Politeknik), penubuhan sebuah stesen janakuasa elektrik di Sungai Baru serta pembinaaan bangunan-bangunan besar.

Bagaimanapun, Perlis masih lagi dilihat sebagai negeri yang terkebelakang dari aspek pembangunan dan kemajuan.

Pendapatan per kapita negerii menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak projek yang dibuat gagala dimanfaakan rakyat, ada beberapa projek rumah kos murah belum dapat diduduki rakyat dan banyak lagi projek yang membazirkan wang rakyat.

Begitu juga, banyak projek-projek besar di Perlis dibolot oleh kroni beliau khususnya Bintong Construction dan Gapura Sdn Bhd.

Cakap-cakap bab penyelewengan dan salahguna kuasa juga kedengaran.

"Apa sudah jadi dengan Perlis, wang Baitul Mal pun depa gauan bawa JKKK pi Medan?," soal seorang veteran Umno.

Rakyat mahu perubahan?

Selain itu, banyak topik menarik tentang politik di negeri Perlis kini dibincangkan pada ruangan Forum di lamanweb AnakPerlis.com. Antara tajuk yang paling hangat ialah "Siapa yang layak ganti Shahidan", "Perubahan Politik di Perlis", "Berapa lama lagi Shahidan boleh bertahan" , "Kalau Shahidan bukan MB Perlis" dan banyak lagi.

Forum sebegini juga membuktikan rakyat Perlis dama ada yang tinggal di dalam mahupun luar Perlis turut berminat mengikuti suasan politik di negeri ini secara serius.

Begitu juga sudah dua kali laman web ini membuat undian online berkaitan kepimpinan negeri. Pertamanya undian atas tajuk "Setujukah anda jika Shahidan terus menjadi MB Perlis?".

Ternyata 70 peratus responden mengatakan bersetuju. Manakala undian terbaru ialah "Perubahan politik yang bagaimanakah yang anda perlukan untuk negeri Perlis ?" Setakat hari ini lebih 47 peratus responden mahukan perubahan daripada Parti pemerintah kepada PAS dan KeADILan.

Pun begitu ramai yang masih beranggapan Shahidan sukar untuk digugat di Perlis. Sifat "pemurahnya" disukai orang ramai yang mengagihkan sumbangannya.

Beliau juga dikepung oleh pimpinan umno negeri yang seperti beberapa orang wakil rakyat, pimpinan pemuda, wanita termasuk adiknya sendiri, Senator Ismail Kassim.

Apapun Umno Perlis tetap berkocak. Riak yang kecil tentang kepimpinan Umno negeri semakin lama-semakin kuat sehingga menimbulkan gelombang yang kuat.

Dari masalah perebutan jawatan, masalah penyelewengan sampai ke masalah peribadi dan akhlak semuanya menjadi rencah yang menyeliputi Umno Perlis.

Ibarat kudis kecil yang membengkak, semakin lama semakin besar menjadi bisul.

Akhirnya bisul Umno Perlis yang membengkak selama ini pecah juga dengan kenyataan Radzi Sabtu lalu. Nanahnya mengalir keluar dan dapat dihidu orang ke sekuruh pelusuk tanahair.