Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, April 09, 2007

Sikap Umno, parti Islam terbesar dunia terhadap Resolusi Gerakan

Petikan Malaysia Today
Oleh Zulkifli Mohamed

KEPALA BATAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas (DPPKKB) mencabar Pemuda Umno menyatakan pendirian mereka berhubung resolusi yang diluluskan oleh Gerakan Wilayah Persekutuan, 1 April lalu, yang antara lain menggesa Mufti Perak dipecat.

“Umno yang sering melaung-laungkan partinya sebagai parti Islam yang terbesar di dunia harus menentang usul tersebut dan bertindak ke atas Gerakan.

“Jika tidak, tidak ada gunanya Umno memegang teraju Barisan Nasional (BN) kalau kuasa yang ada pada Raja-raja Melayu dan hak umat Islam gagal dipertahankan,” kata Ketua Penerangannya Nursuzriman Mohamed.

Malah, katanya pihaknya juga amat kesal dengan sikap berdiam diri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berhubung perkara ini.“Dato’ Seri Abdullah dilihat sebagai amat lemah, manakala Gerakan sendiri sudah 'besar kepala' dan semakin biadap terhadap umat Islam malah kepada Perdana Menteri sendiri.

“Ini bukan kali pertama Parti Gerakan membuat kenyataan seperti ini kerana Presidennya pernah membuat kenyataan supaya pendidikan agama Islam tidak diajar di sekolah,” katanya.

Tambahnya, keberanian Parti Gerakan bertindak biadap dengan menghina institusi Islam jelas berpunca daripada Umno sendiri.“Umno bukan sekadar memandang ringan kerisauan umat terhadap pelbagai isu yang melanda, khususnya isu murtad, malah merekalah juga yang memperlekehkannya.

”Berhubung resolusi tersebut, Suzriman berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Parti Gerakan itu.Katanya tindakan tersebut telah menghina institusi beraja di negara ini.

“Mereka telah bertindak liar dan melampaui batas dengan cuba menasihati Sultan berhubungan masalah umat Islam,” ujarnya.

Gerakan katanya tiada hak untuk mendesak Raja-raja untuk memecat Mufti Perak.

“Resolusi itu dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan kaum yang kini semakin carik angkara hasutan dan provokasi pihak-pihak tertentu yang dengki dan irihati terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan Islam yang telah diperuntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

“Apakah hak Parti Gerakan untuk campur tangan dalam urusan agama Islam? soalnya dalam kenyataan medianya kepada Malaysia Today.

Menurutnya, DPPKKB berpendapat sikap biadap tersebut sebagai tanda Parti Gerakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Kerajaan, katanya sehingga kini gagal mengambil sikap yang jelas kerana mereka meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan agama.

“Jangan nanti kerana takut hilang undi atau hilang pengaruh akhirnya yang akan cedera dan parah adalah agama dan kepercayaan kita. “Jelas di zaman Islam Hadhari ini keunggulan Islam semakin terhakis dan diragui,” ujarnya.

"Pembangkang jadian" di Dun Perlis

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 7 April - Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis kelmarin dihangatkan dengan penggunaan istilah "pembangkang jadian" oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang).

Istilah tersebut merujuk kepada wakil penyokong kerajaan Dato' Loh Yoon Foo (BN-Titi Tinggi) yang bercakap dengan nada seperti seorang wakil pembangkang.

Ustaz Hashim menggunakan istilah tersebut dalam muqaddimah ucapannya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan.

"Saya berasa bangga hari ini kerana mempunyai seorang kawan baru yang merupakan "pembangkang jadian"," katanya.

Walaupun tidak diterima ramai termasuk Loh sendiri, namun realitinya sidang Dun kelmarin membuka mata para hadirin dengan isu yang dibawa oleh Loh.

Pada sesi soalan-soalan lisan, Loh menanyakan mengapa tempoh persidangan Dun Perlis semakin pendek dan padanya ini akan menyulitkan wakil rakyat untuk menjalankan tugas dan menafikan peluang untuk menyuarakan suara rakyat dengan sempurna.

Beliau juga ingin tahu adakah patut wakil rakyat diberikan masa yang singkat untuk berucap dan sering ditegur tentang masa berucap oleh speaker.
Dalam ucapannya juga, Loh turut bertikam lidah dengan Exco kerajaan negeri, Dato' Abu Bakar Ismail (BN-Pauh) berkaitan isu bantuan kebajikan bulanan kepada Rumah Sejahtera Kaki Bukit yang dibatalkan.

Halwa Perlis siap sedia hadapi pilihan raya umum ke-12

KANGAR, 4 April - Halwa negeri Perlis bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang ke-12 dengan ikrar menumpukan seluruh tenaga untuk merealisasikan cita-cita parti.

Hampir 600 peserta yang mewakili setiap Dun dari seluruh negeri Perlis berjaya dihimpunkan di dalam Konvensyen Halwa yang julung kali dianjurkan baru-baru.


Majlis yang berlangsung di Medan Tafaqquh, Balai Islam MADI dekat sini telah di rasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Dalam ucapannya, Ustaz Hashim mengingatkan para peserta agar menghayati doa redha kepada Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul sebagai asas perjuangan.

"Jadikan doa yang sering kita baca ini sebagai asas kepada gerak kerja jemaah yang kita dokongi ini. Bila kita redha dengan ketiga-tiganya, kita kena bangga menjadi seorang ahli PAs dan pejuang Islam.

"Jangan jadi golongan yang rugi iaitu mereka yang tidak menggabungkan diri dalam jemaah yang berjuang untuk menentang kemungkaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud turut hadir sebagai undangan khas bagi mengisi sesi motivasi kepada para peserta.

Beliau yang juga Ketua Halwa Pusat mengingatkan para petugas Halwa agar tidak kecewa dan berputus asa dalam perjuangan walaupun tidak mendapat kemenangan.

"Dalam perjuangan ini ada pasang surutnya, jangan kita merasa kecewa dan berputus asa kerana kita berkerja bukan untuk masa ini sahaja tetapi untuk jangka masa yang panjang.
Oleh itu buat kerja dari sekarang, jangan tungu masa piihan raya baru nak mula bekerja," sarannya.

Beliau menggesa para peserta agar bijak mengurus diri dan rumah tangga walaupun sibuk dengan kerja-kerja parti.

"Kita kena atur jadual kerja dan berikan tumpuan kepada kerja-kerja mengikut kategori kepentingan. Utamakan yang penting dan yang segera dahulu," katanya.

Turut hadir dalam proram in ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Ustazah Sarah Rejab selaku Penasihat Halwa dan Pengarah Jabatan Pilihan raya Negeri Perlis, Haji Abdul Karim Mat Rejab

Kerajaan Umno/BN Perlis gagal bendung penyakit sosial

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 27 Mac - Kerajaan Umno yang memerintah negeri ini sekali lagi dibuktikan gagal untuk membendung gejala tidak sihat khususnya di kalangan remaja.

Harian Metro hari ini mendedahkan wujudnya gejala tidak sihat seperti meminum minuman keras, pergaulan bebas dan menghidu gam yang berlaku di dalam kawasan semak berhampiran Pantai Sungai Baru dekat sini.

Laporan tersebut menyebut kawasan semak berkenaan dijadikan "Pub Haram" dan digunakan oleh "Mat Motor" setiap malam sebagai tempat menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman melihat kejadian ini sebagai satu kegagalan kerajaan untuk mendidik rakyat khususnya golongan belia dengan pengisian ilmu yang boleh membendung gejala sedemikian.

"Jiwa mereka kosong, jadi mereka memilih untuk mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang tidak sihat sebegini. Gejala seperti perlu dibendung dengan segera," katanya.

Tambahnya lagi, penjualan minuman keras secara terbuka di pasaraya dan kedai 24 jam di negeri ini memudahkan sesiapa sahaja termasuk muda-mudi Islam untuk membelinya.

Justeru beliau menyarankan agar kerajaan mengharamkan penjualan minuman keras secara terbuka sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan.

"Ambil contoh di Kelantan, penjualan arak secara terbuka diharamkan kecuali bagi premis-premis tertentu yang dibenarkan dan dengan kawalan.

"Kerajaan juga perlu menyuburkan budaya ilmu di negeri ini. Rakyat peru diberikan ilmu tentang Islam secukupnya agar mereka faham dan tahu mana yang halal, mana yang haram, dosa, pahala, syurga dan negara," sambungnya lagi.