Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my
PADANG BESAR 9 Nov. - Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs), satu-satunya institusi pengajian agama yang beroperasi di Perlis sejak 16 tahun lalu akan ditutup mulai 31 Disember depan ekoran masalah kewangan yang meruncing.
Ini menyebabkan kira-kira 100 pelajar dan kakitangan pusat pengajian agama milik kerajaan negeri yang diselia Yayasan Islam Perlis (YIPs) itu dalam dilema kerana terpaksa belajar sekerat jalan serta kehilangan pekerjaan.
Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya difahamkan bahawa penutupan IPTIPs itu untuk memberi laluan kepada penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang dijangka dibuka tahun depan.
Beliau berkata, lebih menyedihkan ialah arahan menutup IPTIPs tanpa mengambil kira masa depan pelajar dan kakitangan pusat pengajian Islam itu.
Pelajar diminta berpindah ke pusat pengajian Islam lain di negara ini, manakala pensyarah atau pekerja diberhentikan serta-merta pada tarikh penutupan tersebut tanpa diserap ke jabatan kerajaan lain atau diberi sebarang pampasan," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Beseri di sini hari ini.
Yang turut hadir Rektor IPTIPs, Muhammad Fadhli Ilias dan pengasas awal IPTIPs, Datuk Ahmad Jusoh.
IPTIPs yang ditubuhkan pada 1997 merupakan pusat pengajian Islam yang mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menawarkan pengajian Diploma Al-Quran dan Al-Hadis, Diploma Usuluddin dan Diploma Syariah.
Zahidi berkata, IPTIPs juga menjadi pilihan pelajar antarabangsa, termasuk Thailand, Kemboja dan Indonesia kerana mereka berpeluang menyambung pelajaran peringkat ijazah di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Kerajaan negeri diharap akan dapat mengkaji semula keputusan menutup pusat pengajian Islam tersebut bagi menjaga kebajikan pelajar dan kakitangannya, selain menjaga imej Islam dan matlamat memperkasakan pendidikan negara," ujar beliau.
Zahidi berkata, IPTIPs sepatutnya dinaikkan taraf, bukan ditutup.
Saya akan cuba mendapat bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menyelamatkan IPTIPs," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Fadhli berkata, beliau dan kakitangan IPTIPs terkejut setelah dimaklumkan kerajaan negeri akan menutup pusat pengajian agama yang berjaya melahirkan graduan Islam berkualiti dan berjaya itu.
Katanya, bukan sahaja mereka terpaksa diberhentikan tanpa sebarang pampasan dan mendapat peluang bekerja di tempat lain, malah pelajar juga terpaksa dipindah ke pusat pengajian Islam lain yang akan membebankan mereka. (Sumber: Utusan Malaysia Online)
No comments:
Post a Comment