KANGAR - Pada sidang dewan undangan negeri Perlis yang lalu, Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) berkata kegagalan negeri Perlis untuk mendapat projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berpunca dari ketidak sediaan kerjaan negeri untuk menerima projek tersebut.
Menurutnya, perkara tersebut yang seringkali dibangkitkan semasa sidang dewan tapi beliau berpendapat banyak projek-projek di bawah NCER yang diberikan kepada Perlis tapi ditarik balik mungkin berpunca dari kegagalan pentadbiran kerajaan negeri bersedia untuk menyediakan kemudahan dan prasarana.
"Kerana itulah saya rasa pihak NCER melihat Perlis tak bersungguh dan akhirnya projek tarik balik dan diserahkan kepada Kedah atau Pulau Pinang. Mungkin kerajaan nak dapat keuntungan cepat atau komisen yang banyak," katanya berucap membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan.
Sabry Ahmad (BN-Santan) kemudiannya bangun mencelah mengatakan ucapan Rus'sele bersifat tuduhan yang tidak baik mengatakan ada pihak yang meminta komisen.
Rus'sele berkata, komisen untuk kerajaan adalah baik kerana memberikan pulangan balik kepada kerajaan.
"Yang saya katakan adalah komisen untuk kerajaan bukannya untuk peribadi. Saya kata komisen bukannya rasuah,"jelasnya.