Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, April 30, 2008

Ustaz Hashim fail petisyen Dun Sanglang

KANGAR - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin baru-baru ini memfailkan petisyen pilihan raya bagi mengisytiharkan beliau sebagai pemenang pilihan raya umum (PRU) ke 12 yang lalu di Dun N.15 Sanglang.

Petisyen tersebut difailkan melalui Tetuan Zuljaafar Ibrahim & Co di Mahkamah Tinggi Kangar jam 3.15 petang 23 April lalu.

Petisyen dan Notis Petisyen Pilihanraya tersebut diserahkan oleh peguam Zulmi Sabri dan diterima oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Badrul Munir Mohd Hamdy.

Menurut Zulmi, petisyen ini difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan dan pihak pempetisyen akan menyerahkannya kepada defendan, Abdullah Hassan (Calon BN), Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa 15 hari.

Keputusan PRU ke 12 diwartakan pada 8 April lalu dan tarikh akhir mengemukakan petisyen ialah pada 29 April ini.

Dalam PRU 8 Mac lalu, Ustaz Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Pada 3 April lalu, Mahkamah Tinggi Kangar telah menolak permohonan Saman Pemula yang dikemukakan oleh Ustaz Hashim bagi tujuan yang sama dengan alasan mereka tidak mempunyai peruntukan untuk mendengar kes tersebut.

Sebaliknya, pihak plaintif diminta untuk memfailkan petisyen pilihan raya. Saman pemula yang dikemukakan itu menuntut untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa Defendan Kedua (Mohammad Daud) dan Defendan Ketiga (SPR) telah melakukan kesilapan mengisytiharkan Defendan Pertama (Abdullah) sebagai calon yang menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam PRU ke 12 bagi bahagian N.15 Sanglang.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah calon yang menang dan sewajarnya dipilih sebagai Adun. Begitu juga, plaintif memohon perintah mengarahkan SPR selaku defendan ketiga mewartakan keputusan PRU ke-12 bagi Dun N.15 Sanglang dimenanginya dan dipilih sebagai Adun.

No comments: