Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sepatutnya menghukum Bersih sebagai haram hanya kerana ia adalah pertubuhan yang tidak selari dengan selera kerajaan serta bersuara bagi pihak rakyat seluruhnya.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lalu bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sebuah pertubuhan haram.
“Bagi DPPM, keputusan ini adalah kejayaan kepada Bersih dan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan perjalanan sistem pilihanraya yang adil dan bersih,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.
Katanya, keputusan itu menjadi bukti bahawa tindakan kerajaan yang menghukum dan mengasari peserta perhimpunan Bersih adalah salah.
“Ternyata kerajaan silap apabila menghukum entiti yang memperjuangkan nilai demokrasi yang sebenar dan menafikan suara rakyat yang dambakan kebebasan, keadilan dan ketelusan di negara ini.
Beliau menegaskan, Bersih berjaya membuktikan bahawa ia adalah pertubuhan yang sah dan tidak menyalahi undang-undang malah, tindakan yang dilakukan oleh Bersih juga mematuhi undang-undang negara.
Tambahan lagi, katanya semua perhimpunan Bersih yang dianjurkan sebanyak tiga kali juga tidak menyalahi undang-undang serta pesertanya juga bertindak di dalam batasan undang-undang negara.
Sehubungan itu, katanya DPPM mengingatkan kerajaan bahawa sikap ‘serkap jarang’ atau menghukum sebelum diputuskan bersalah adalah tindakan yang tidak wajar.
“Kerajaan perlu belajar dari kesilapan ini dengan memohon maaf kepada Bersih serta seluruh peserta perhimpunan Bersih di atas tindakan kasar, ganas dan keterlaluan yang dilakukan oleh pihak keselamatan dalam perhimpunan Bersih sebelum ini,” ujarnya lagi.