Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, October 22, 2007

Pengumuman

Orang ramai adalah dijemput ke majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Perlis yang akan di adakan seperti berikut:

Tarikh : 24 Oktober 2007 / 12 Syawal 1428
Hari : Rabu
Masa : Mulai jam 2.30 petang
Tempat : Tapak Kompleks PAS Perlis, Jalan Kampung Pondok, Kangar (berhampiran Stadium Utama Negeri)

Sunday, October 21, 2007

Banyak masalah timbul kerana kerajaan 'mesra' pekerja asing - Anuar Tahir

Petikan Harakahdaily
BESERI,19 Okt (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, perlaksanaan sistem gaji minima kepada para pekerja peringkat bawahan boleh membantu mengurangkan penggunaan pekerja asing di negara ini.

Katanya, masalah lambakan pekerja asing yang hangat diperkatakan kebelakangan ini berpunca dari sikap kerajaan yang tidak "mesra rakyat" terhadap pekerja tempatan.

"Sebab itu sehingga kini kesatuan sekerja yang sudah lama memperjuangkan gaji minima masih pada tahap lama. Perdana Menteri pun belum bersedia berjumpa mereka untuk menyelesaikan isu tuntutan gaji minima ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Buruh dan Peneroka Bandar PAS Pusat melihat perlaksanaan sistem gaji minima akan membolehkan para pekerja tempatan mengisi peluang-peluang pekerjaan yang kini diidi oleh pekerja asing.

Menurutnya, pekerja asing datang dari negara yang miskin dan mereka akan sanggup melakukan apa saja pekerjaan di negara ini dengan gaji yang rendah yang pada mereka adalah tinggi jika dibandingkan di negara mereka.

"Bagi rakyat tempatan, tahap gaji yang diberikan oleh majikan di sesetengah sektor adalah terlalu rendah. Mereka tidak sanggup menerimanya memandangkan kos sara hidup yang tinggi," ujarnya.

Selain itu menurut Anuar lagi, faktor yang menyebabkan lambakan pekerja asing di negara ini ialah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin negara.

"Kemasukan pekerja asing ini dikuasai oleh nereka yabf berotoriti, Ianya melibatkan syarikat atau agensi yang dimiliki kroni mahupun proksi kepada Pak Menteri. Mereka juga yang dapat permit yang lebih," katanya.

Selain itu katanya, kesan kemasukan terlalu ramai tenaga buruh asing ke negara ini sudah mulai dirasi dan kesanjangka panjangnya akan menjadi kebih teruk.

Baginya, pada masa ini kesan terhadap masyarakat sudah mulai dirasai dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah yang ditimbulkan oleh para pekerja asing di negara ini.

Begitu juga katanya, lambakan para pekerja asing juga merugikan negara dari segi pengaliran wang negara ke negara-negara luar dalam jumlah yang banyak.

"Namun kesan jangka panjangnya ialah rakyat negara in akan menjadi terpinngir dan kadar pengangguran rakyat tempatan akan meningkat. begitu juga dengan masalah keselamatan negara.

"Ambil contoh WPI di Johor. Kalau dah ramai rakyat asing seperti Singapura boleh bebas masu, ini akan memberi kesan kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Apa ertinya negara mewah dan maju kalau keselamatam terancam?," ujarnya.

Menurut Anuar lagi, untuk menyelesaikan masalah ini kerajaan perlu melihat balik perlaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan dengan lebih mendalam dan serius.

Namun baginya, langkah untuk cuba mengurangkan jumlah pekerja asing dan menyelesaian isu ini tidak akan berjaya selagi mana rasuah dan penyelewengan terus berleluasa.

"Selagi duk tangkap-lepas, ada suapan sampai bila pun tak selesai. Nak kurangkan jumlah pun tak nampak jalan," katanya.

Anuar turut menyarankan pihak berkuasa yang terlibat dengan penangkapan dan pengusiran pendatang asing ke negara ini agar tidak menjalan operasi mereka sehingga melanggar lunas-lunas undang-undang.
"Kita perlu tangani dengan baik pengusiran pendatang ini. Imej negara perlu dijaga. Jangan ada sampai melanggar hak asasi dan menimbulkan masalah dengan negara jiran seperti Indonesia dan lain-lain," ujarnya.

Lebih 2 ribu solat Aidilfitri berama Dr Haron Din

JEJAWI, 1 Syawal 1428- Lebih dua ribu orang membanjiri Balai Islam MADI di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dekat sini untuk bersolat sunat Aidilfitri bersama-sama pimpinan PAS.

Seperti tahun-tahun yang lalu, solat sunat Aidilfitri pada tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya dan pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri serta PAS kawasan-kawasan.
Solat sunat Aidilfitri telah diimamkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil ,manakala Dr Haron kemudiannya menyampaikan khutbah hari raya.






Selepas solat, orang ramai mengambil kesempatan berasalaman dan bermaaf-maafan dengan Dr Haron dan pimpinan PAS Perlis.


Dr Haron dan Ustaz Hashim kemudiannya menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Tuesday, October 09, 2007

500 fakir miskin dan anak yatim di Perlis terima bantuan PAS

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 8 Okt (Hrkh) - Dalam keghairahan umat Islam membuat persediaan menyambut kedatangan Aidilfitri tahun ini, golongan yang kurang bernasib baik tidak dilupakan.

Justeru, PAS Perlis turut mengambil kesempatan meraikan golongan tersebut dengan menyampaikan sumbangan sempena menyambut Aidilfitri bagi meringankan serba-sedikit bebanan yang mereka tanggung.

Seramai lebih 500 orang fakir miskin dan anak-anak yatim di seluruh Perlis menerima sumbangan dalam tiga majlis yang diadakan serentak oleh PAS Kawasan Arau, Kangar dan Padang Besar.

Di Arau, majlis sumbangan Aidilfitri telah diadakan di kediaman Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Ustaz Hashim Jasin di di Batu 8 3/4 Jalan Sanglang dekat sini.

Seramai 200 orang fakir miskin dan 40 orang anak yatim dari seluruh kawasan Arau menerima sumbangan hamper dan duit raya.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang turut hadir untuk menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, di Markas PAS Kawasan Kangar seramai 85 orang fakir miskin dan 25 orang anak yatim telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh pimpinan PAS kawasan yang diketuai Yang DiPertuanya, Hairy Hashim.
Manakala di Padang Besar, seramai 200 orang fakir miskin dan 50 orang anak yatim diberikan sumbangan yang serupa dalam majlis yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Padang Besar di Santan.

Monday, October 01, 2007

PAS Perlis sedia bubur lambuk sepanjang Ramadan

KANGAR– Tradisi penyediaan bubur lambuk untuk orang ramai sempena bulan Ramadan diteruskan pada tahun ini oleh Badan Perhubungan PAS Perlis.

Sebuah hadis yang bermaksud, "Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun" dijadikan iktibar untuk menjayakan program ini.

Justeru, Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis dengan kerjasama kakitangan pejabat Perhubungan PAS Perlis menyediakan bubur lambuk untuk orang ramai sebagai juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menurut Pengarah JKM PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab, program tahunan ini telah berlangsung selama enam tahun dan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari.

"Kita mengambil fadhilat Ramadan untuk sama-sama menyediakan makanan untuk umat Islam berbuka puasa," katanya.
Bubur lambuk dengan resepi "Kampung Baru" ini dimasak setiap hari bermula jam 10.30 pagi di perkarangan pejabat perhubungan negeri menggunakan dua buah periuk besar.

Ianya mula diedarkan kepada orang ramai mulai jam 3.00 petang.

"Sambutan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan dan swasta amat memberangsangkan. Setiap hari bubur yang disediakan habis dalam masa yang singkat," kata Abdul Karim lagi.

Dalam pada itu, selepas menganjurkan kursus pemyediaan bubur lambuk menjelang Ramadan ninggu lalu, kini hampir semua Dun di Perlis mengadakan program bubur lambuk.
Respon yang diterima menyatakan Bubur Lambuk PAS Perlis kini menjadi sebutan ramai dan rata-rata orang ramai memujinya apatah lagi apabila ada keselarasan resepi di seluruh negeri

Kerajaan perlu tutup ruang ke arah berlakunya jenayah - Ir Amiruddin

PADANG BESAR, 24 Sept (Hrkh) - Kes tragis lagi menyayat hati seumpama yang berlaku ke atas adik Nurin Jazlin Jazimin berlaku akibat kegagalan kerajaan untuk mengawal keadaan yang boleh membuka ruang berlakunya jenayah di dalam negara ini.

Antaranya ialah merebaknya budaya hedonisme atau hiburan melampau di kalangan masyarakat, demikian jelas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ir Amiruddin Hamzah.

Katanya, akibat budaya hedonisme inilah yang melahirkan pelbagai penyakit di dalam masyarakat seperti peningkatan kes jenayah, seks bebas, gangsterisme di sekolah, buang bayi, anak luar nikah dan murtad.

"Kerajaan sepatutnya kena tutup ruang-ruang yang boleh berputik dan berbuahnya jenayah di dalam negara ini. Islam pun mengajar begitu," katanya.

Mengulas tentang kes Nurin Jazlin, Amiruddin melihat kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara yang menuduh ibu bapa Nurin sebagai cuai tidak sepatutnya dibuat tatkala mereka masih meratap kehilangan anak yang disayangi.

"Kita mahu tahu apakah apakah tanggung jawab Polis DiRaja Malaysia (PDRM), untuk mewujudkan keadaan aman dan tenteram dalam kehidupan rakyat di negara ini?" soalnya.

Katanya lagi, kes Nurin ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa keadaan yang ada di dalam negara ini amat teruk.

"Sudah ada manusia yang cukup sakit dan tak tahu apa jenis orang atau binatang mereka ini," katanya.

Justeru katanya, pihak PDRM perlu melihat balik bagaimana mereka gagal menangani masalah jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

"Bagaimana dengan janji Pak Lah ketika mula menjadi Perdana Menteri 45 bulan dulu? Beliau berjanji untuk mengurangkan kadar jenayah lima peratus setahun sedangkan yang berlaku kini kadar itu meningkat 12 peratus," jelasnya.

Sebaliknya, menurut Amiruddin, polis telah digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya seperti mengganggu ceramah politik dan himpunan aman yang dianjurkan.

Katanya lagi, kes yang berlaku kepada Nurin bukannya berpunca dari satu budaya yang berlaku dalam sekelip mata sebaliknya lahir dari satu bentuk budaya yang sudah bercambah dalam masyarakat.

"Ini adalah kesannya apabila kita berpaling dari peringatan Allah. Kita akan tempuhi kesempitan dalam hidup.

"Mahukah kita esok berada dalam keadaan anak-anak kita tidak boleh keluar dan asyik berkurung di rumah kerana keadaan yang teruk di sekeliling kita?" katanya.

Amiruddin berucap dalam majlis ceramah sempena program Jelajah Ramadan yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat. Majlis tersebut di adakan di Markas PAS Kawasan Padang Besar, di Santan dekat sini malam tadi.

Laporan Audit: MB Perlis punyai tunggakan bil air lebih RM200 ribu


KANGAR- Menteri Besar Perlis telah tersenarai di antara 10 pengguna yang mempunyai tunggakan bil air paling tinggi di negeri Perlis, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara ke atas Pengurusan Bekalan Air oleh Jabatan Kerja Raya.

Laporan tersebut terkandung dalam Aktiviti dan Kajian Khas Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Perlis 2006 yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini.


Dalam Jadual 27 laporan tersebut, setakat awal Mei 2007 Menteri Besar Perlis masih mempunyai tunggakan sebanyak RM223,045.00 dan menduduki tempat kedua selepas Persatuan Bolasepak Perlis yang mempunyai tunggakan sebanyak RM614,189.00.


Antara pengguna lain yang tersenarai ialah Majlis Perbandaran Kangar (RM250,281.00), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (RM236,370.00), Universiti Institut Teknologi MARA (RM197,674.00) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (RM117,162.00).


Turut tersenarai ialah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Umno Perlis, Konsortium Bintong Sdn. Bhd dengan jumlah tunggakan RM123,115.00 dan dua orang individu yang jumlah tunggakan mereka sebanyak RM232,647.00.


Jumlah tunggakan melibatkan 10 pengguna tersebut berjumlah RM2.11 juta.


Menurut laporan tersebut, jumlah tunggakan juga telah meningkat berbanding tahun lalu dari jumlah RM1.03 juta kepada RM3.31 juta.


Laporan Audit juga mendapati hasil perolehan dari jualan air merupakan penyumbang utama kepada hasil kerajaan Negeri Perlis iaitu sebanyak 18 peratus bagi tahun 2004, 15 peratus (2005) dan 16 peratus (2006).


Jabatan Audit menyimpulkan bahawa tindakan serta operasi penguatkuasaan yang lebih berkesan dan sistematik perlu diambil untuk mengurangkan tunggakan hasil yang kian meningkat pada setiap tahun.